|Terkini dari milan|

1. Amihana: Nilai Sekeping Hati 56 was the last post. New entry? Ntahla... (- . -')
2. SUS - dihentikan untuk seketika.
3. ABB - sedang dirombak. Progress may be updated.

Followers

Thursday, October 4, 2007

Dia Milikku - 13

Mumbling o milanhawkin at 3:28 PM
Sudah seminggu berlalu sejak hari itu. Biarpun benakku sering dihimpit dengan perasaan ingin tahu yang menggebu, aku masih mampu menghabiskan masa dengannya tanpa menyentuh tentang perkara itu. Aku takut. Takut kenyataannya bakal mencalar perasaan yang tumbuh di dalam hati ini. Sesungguhnya, aku terlalu menyenangi lelaki tinggi lampai itu. Aku tak mahu nanti aku terpaksa menjauhkan diri darinya.

Pada setiap petang, aku akan singgah ke Sunway untuk melihat Akid beraksi di gelanggang. Permainan bola keranjangnya memang hebat. Agaknya sudah setanding dengan mana2 pemain professional. Aku gemar melihatnya merogoh bola ke dalam jaring dengan gaya 'slam dunk'nya. Nampak hebat aje.

Hari ini juga, seperti hari2 yang lain, aku duduk di bangku di suatu sudut, memerhatikan permainannya. Aku tahu dia menyedari kehadiranku kerana sesekali mata kami akan bertembung dan menyapa. Setiap kali dia berjaya menjaringkan mata, dia akan melambaikan tangannya padaku sambil tersenyum girang. Saat itu adalah saat yang paling bahagia kurasakan. Kembang hati ini setiap kali dia tersenyum padaku.

Sungguh, dia tak nampak seperti lelaki yang sudah punya isteri dan anak. Wajahnya juga tidak kelihatan seperti layaknya suami orang. Lagi pula, usianya masih muda. Hanya setahun lebih tua dariku. Tuhan, layakkah rasa cemburu ini tumbuh di hati setiap kali aku terkenangkan kemungkinan perempuan yang berdiri di sebelahnya di dalam gambar itu adalah isterinya?

Sepanjang perkenalan kami, tidak pernah dia berlaku lebih dari seorang teman yang baik. Aku sendiri kadang kala keliru dengan hubungan ini. Kalau aku ini sekadar kawan, perlukah aku datang setiap hari ke sini semata2 ingin berjumpa dengannya? Tidak perlu kan? Jika dia pula hanya menganggap aku ini hanya salah seorang dari kawannya, mengapa pula dia harus menelefonku saban malam sebelum mata terlelap? Tak harus kan? Tapi kami tidak pernah berbincang tentang perasaan. Tidak sekali pun. Dia tak pernah menyoal tentang statusku, dan begitulah sebaliknya. Jadi, kenapa aku pula yang terasa tertipu walau dalam masa yang sama mengharapkan gambar itu adalah ilusiku semata2?

Mungkin, bayi didukungannya itu adalah anak saudaranya. Mungkin perempuan cantik di sebelahnya adalah adiknya. Mungkin juga Akid memang pernah berkahwin dan punya anak, dan isterinya sudah meninggal dunia. Segalanya mungkin, bukan?

"Lewat you sampai hari ni?" Akid menyapa sambil mendekati. Khayalanku tadi segera terbuang jauh. Aku menoleh padanya dengan senyum di bibir. Bajunya lencun dengan peluh. Nafasnya juga sudah termengah2. Tangannya mengeluarkan sehelai tuala kecil dari beg sukannya untuk mengesat peluh di muka dan leher. Aku hanya tersenyum memerhati. Akid, dalam keadaan apa sekalipun, tetap nampak segak dan bergaya. Beg sukannya diletakkan di sebelahku.

"Saya banyak kerja kat office tadi. Ingatkan tak sempat nak tengok awak main hari ni" balasku pula seraya mengeluarkan sebotol air mineral dari handbagku dan kuhulurkan padanya. Akid mengucapkan terima kasih lantas meneguk rakus air mineral tadi. Itu rutinku sejak aku mula menemaninya datang bermain bola keranjang ini. Ini salah satu minatnya yang tak dapat ditinggalkan sejak dari alam remaja, katanya.

"Kerja, sampai bila pun tak habis" usik Akid sambil melabuhkan punggung tidak jauh dari tempat aku duduk. Aku pula memandang terus ke arah gelanggang, malu mahu menatap terus padanya. Hatiku berkocak hebat setiap kali mata kami bertemu.

"Betul tu, tapi kerja kan ibadah. Jadi kenalah buat sebaik mungkin. Barulah Allah redha" Akid tersenyum mendengar kata2ku. Kepalanya diangguk2kan. Mungkin bersetuju dengan kenyataan itu.

"Shai, you perasan tak?" Aku berpaling menatap wajah itu dengan kerut di dahi.

"Perasan apa?"

"You selalu bahasakan diri you, 'saya' dan you panggil I, 'awak'. Dan I pula bahasakan yang sebaliknya. You tak rasa pelik ke? Macam itik bercakap dengan ayam” komennya serius. Aku ketawa. Memang dah lama aku perasan. Sejak dari mula kami berkenalan lagi. Kerana aku rasa janggal untuk ber'I-you' dengan sesiapa, aku memanggilnya 'awak'. Takkanlah aku nak memanggilnya 'Akid' dan membahasakan diri aku pula 'Shai'? Nampak gedik je. Tak kuasa betul.

"Habis tu? Saya tak biasalah nak ber'I-you' ni. Apa salahnya saya ber'saya-awak'?”

"Kalau macam tu, panggillah nama lain" sarannya. Ada senyuman nakal bermain di bibir nipis itu. Suka betul menggoda aku.

"Hmm... OK, saya panggil awak 'Akid' aje ye" Akid cepat2 menggelengkan kepalanya berulang kali.

"Habis?

"Panggil I, 'abang' sebab I lagi tua dari you"

"Alah, takat tua beberapa bulan tu je, tak payahlah sangat" aku mengusiknya dalam debar yang semakin hebat melanda. Hangat wajahku cuba kusembunyikan darinya dengan memandang teman2 Akid yang sudah mula meninggalkan gelanggang.

"Still... you have to call me 'abang'. And I'll call you... hmm... apa ye... sweetheart?" Aku tahu dia sedang merenung tepat ke arahku, seakan cuba meneliti reaksiku pada kata2nya. Ya Allah, malunya aku saat itu. Dia ni, sengaja mahu mengusik aku barangkali.

"Ish, awak ni. Suka nak mengarut tau. Dahlah, saya nak balik. Lagipun dah lewat petang ni. Assalamualaikum!" pantas aku meninggalkan bangku dan berlari2 anak ke tempat aku memarkir kereta. Sebenarnya aku tak mahu dia melihat wajahku yang sudah seperti udang kena bakar. Merah! Dalam masa yang sama, aku seakan terdengar Akid ketawa. Adakah dia sedang menduga aku? Untuk apa?

Rasa bahagia yang menyelinap ke lubuk hati ini serta merta hilang bila fikiranku terarah kembali pada gambar di bilik En Halim itu. Ah, dia baru mengusik begitu, aku sudah menggelabah begini. Perasannya aku!

Baru saja aku mahu masuk ke perut kereta, telefon bimbitku berbunyi. Ada sms yang masuk.

-Abang tunggu Shai datang esok-

Aku berpaling ke arah Akid. Dia masih di bangku itu, tersenyum memandangku. Tangannya di angkat, melambai2 ke arahku. Kemudian tangannya di bawa ke bibirnya, seolah meniup sesuatu di telapak tangan. Flying kiss pertama dari lelaki yang semakin mendapat tempat di kalbu ini. Mak, mungkinkah anakmu ini sudah jatuh cinta untuk kali kedua?

0 demented soul(s):

 

thydivaontheloose... tempat ambe jadi minah jiwang Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review